Berikut adalah beberapa idea sebagai permulaan:
1. Kit Membuat Kad Ucapan Terima Kasih:
Ajarlah anak anda menghargai pemberian hadiah dari orang lain dengan menyediakan kit peralatan yang mereka perlukan. Pilih sebuah kotak yang menarik dan isikannya dengan kad-kad kosong dan sampul surat, setem untuk mengirim kad, pen gel yang berwarna-warni dan kertas nota yang comel. Sediakan beberapa label alamat surat menyurat rumah anda dengan nama anak anda tertera di atasnya supaya mereka akan merasakan diri mereka seperti orang dewasa! Sertakan sekali sampel kata-kata ucapan terima kasih sebagai contoh untuk mereka salin.
2. Kit Peralatan Memasak:
Dapatkan beberapa mangkuk kecil, perkakas memasak dan apron kecil untuk kanak-kanak. Sediakan sebuah buku yang sederhana besar yang mana mengandungi koleksi kad-kad yang diindex dan disatukan dengan gegelung dan tampalkan keratan resepi-resepi daripada majalah ataupun tuliskan beberapa resepi kegemaran keluarga. Anda juga boleh membeli adunan tepung untuk membuat biskut atau brownie yang telah siap diadun untuk penyediaan mudah dan cepat.
3. Kit Menonton Filem Di Waktu Malam:
Beli beberapa kupon menyewa video di kedai video berdekatan, sepasang baju pajamas dan beberapa jenis perasa bertih jagung yang boleh disediakan sendiri dengan gelombang mikro. Sertakan juga buku seperti buku “Parents Guide To The Best Family Videos: Great Movies for Parents and Kids to Share” oleh Patricia S. McCormick dan Steve Cohen.
4. Kit Lawatan Misteri:
Tulis beberapa nama tempat yang mungkin anak-anak anda suka lawati seperti zoo tempatan, galeri seni, taman ataupun kedai kegemaran mereka di atas keratan-keratan kertas dan masukkannya ke dalam sampul surat yang berasingan. Sertakan sedikit wang bagi setiap seorang untuk perbelanjaan semasa lawatan. Simpan sampul-sampul surat itu di dalam sebuah balang dan pada hari dimana anak-anak anda berasa ingin bersiar-siar atau melancong, biar mereka pilih satu tempat misteri. Belikan sebuah kamera pakai buang untuk mengambil gambar dan sebuah album gambar yang tidak berapa mahal untuk menyimpan gambar-gambar lawatan anda sebagai kenangan.
5. Kit Mengecat Fabrik:
Pilih beberapa warna cat kain yang terang atau berkilat, span untuk mengecap, kertas perhiasan dan letakkan di atas. Perhatikan mana-mana t-shirt warna muda yang tidak berapa mahal atau fabrik lain yang boleh dicat seperti beg sekolah atau apron. Kosongkan meja dapur dan biarkan imiginasi mereka mencorakkannya. Mereka akan merasa bangga memakai barangan ciptaan mereka sendiri.
6. Kit Membuat Sabun Atau Gula-gula:
Idea ini tidak memerlukan belanja yang mahal untuk dilakukan bersama. Beli acuan gula-gula dan coklat beraneka jenis perasa yang dibuat khas untuk dicairkan untuk membuat gula-gula sendiri. Simpan kotak-kotak coklat yang kosong dan isikannya dengan gula-gula atau coklat ciptaan anda sendiri. Gunakan acuan yang sama untuk membuat sabun. Cairkan beberapa ketul gilkerin yang boleh didapati di kedai kraftangan atau farmasi. Tambah beberapa titik pewarna makanan dan beberapa objek menarik seperti biji benih, bunga plastik atau alat permainan yang kecil untuk menambahkan minat.
7. Kit Berkebun:
Untuk penggemar aktiviti berkebun atau seni, sediakan sebuah beg berkebun yang kecil dan isikan dengan pasu tanah liat, biji benih, tanah hitam, alat-alat perkakas berkebun yang berwarna cerah, sarung tangan, penyiram pokok dan apron dan perhatikan air muka anak anda berubah ceria, menjanjikan pokok-pokok yang subur.
8. Kit Sukan:
Barangkali kasut roda luncur anak lelaki anda sudah haus atau anak perempuan anda sudah mula mencuba sukan lasak dengan menanam minat dalam sukan bolasepak. Koleksi pakaian sukan dan kelengkapan sukan boleh dibungkus di dalam sebuah beg dufel dan diikat dengan reben merah yang besar.
9. Kit Komputer:
Sekiranya anak anda meluangkan banyak masa di depan komputer, mengapa tidak membuatnya rasa lebih selesa? Barangkali bantal untuk menyandar, pelapik tetikus bercorak dengan karaktor popular dan beberapa perisian komputer (dicadangkan bercorak pendidikan) yang baru. Jangan lupa sediakan sebuah pencatat waktu di atas meja untuk memberi isyarat apabila sampai waktu untuk orang lain pula menggunakan komputer.
10. Kit Kraftangan:
Kit ini tidak memerlukan peralatan yang mahal dan mungkin merupakan yang paling lama membuatkan anak-anak anda sibuk. Beli sebuah bekas plastik yang besar berserta dengan penutupnya. Pergi ke Kedai 2 Ringgit yang berdekatan dan beli peralatan seperti gam dan gam kilau, pembersih paip, gunting kanak-kanak atau gunting yang boleh membuat corak tepi, kain perca yang berwarna-warni, reben, bulu, manik dan butang. Tambah apa-apa saja yang anda rasa dapat mencetuskan imaginasi anak anda dan perhatikan mereka mencipta.
Sumber: Artikel ini telah di ambil dengan keizinan daripada www.preschoolplanet.com
by Heidi Hoff
Dipetik dari http://www.ehomemakers.net
